Promosi, Kekalkan Budaya, Identiti Etnik, Sub-Etnik Dengan Lebih Proaktif

Promosi, Kekalkan Budaya, Identiti Etnik, Sub-Etnik Dengan Lebih Proaktif

0
SHARE

TONGOD: Masyarakat pelbagai etnik di Sabah digesa supaya lebih proaktif mempromosikan dan mengekalkan budaya serta identiti warisan masing-masing sebagai usaha memperkukuh keharmonian dan perpaduan negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, usaha tersebut penting agar warisan budaya tidak pupus ditelan arus pemodenan dan globalisasi.

“Setiap kumpulan etnik dan sub-etnik di negeri ini harus berbangga dengan identiti budaya yang diwarisi sejak turun-temurun dan mempergiatkan usaha untuk mempamerkan keunikan masing-masing.

“Kita perlu mempertahankan keunikan budaya kita sebagai orang Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) dan perlu merasa bangga sebab kita ada budaya yang unik di tempat-tempat kita sendiri…. dan itu yang kita perlu pertahankan dari segi pakaian dan muzik serta budaya tradisi,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod 2025 di dewan Kampung Entilibon pada Sabtu (10 Mei).

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, hubungan harmoni antara kaum adalah kunci untuk menghadapi pelbagai cabaran yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Katanya, kerjasama dan saling menghormati sesama masyarakat pelbagai latar belakang adalah tonggak kepada kestabilan, keamanan dan kemajuan negeri Sabah.

Menurut beliau, perayaan seperti Kaamatan menjadi wadah penyatuan masyarakat pelbagai kaum serta simbol kekayaan budaya dan semangat kebersamaan rakyat Sabah.

Dr. Joachim merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah dan jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail Yusof dan semua yang hadir serta menyeru rakyat agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan kebersamaan.

Dr. Joachim turut memuji penganjuran Pesta Kaamatan peringkat daerah itu yang katanya bukan sahaja menyemarakkan warisan budaya tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.

Katanya, pihak Kerajaan amat mengambil berat akan pembangunan di semua daerah termasuk daerah Tongod. Beliau juga menyeru kepada semua yang hadir dalam majlis untuk memilih kerajaan sedia ada untuk memerintah negeri Sabah.

“Berilah peluang kepada kerajaan yang ada sekarang ini. Secara keseluruhannya, dalam masa lima penggal dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat meningkatkan hasil negeri, hampir 7 bilion pada tahun 2023 dan 2024. Hasil ini diberikan kepada rakyat melalui bantuan -bantuan yang pelbagai dan memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau menyeru semua lapisan masyarakat agar terus menyemarakkan sambutan Kaamatan di semua peringkat termasuk kampung, sekolah dan organisasi.

“Tema tahun ini ‘Kaamatan untuk Semua’ amat bersesuaian dengan realiti kepelbagaian masyarakat di Sabah yang hidup secara aman dan harmoni,” katanya.