UMNO Sabah Akan Terus Melangkah Bersama Rakyat – Salleh

UMNO Sabah Akan Terus Melangkah Bersama Rakyat – Salleh

0
SHARE

TAWAU: UMNO yang kini genap 79 tahun terus membuktikan bahawa ia adalah parti perjuangan rakyat, parti kemerdekaan dan pembela pembangunan negara.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Dr. Salleh Said Keruak, dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan UMNO DUN Balung yang berlangsung di Dewan Kampung Balung Cocos, Tawau hari ini, menegaskan bahawa UMNO kekal relevan dan masih diyakini rakyat di seluruh negara termasuk di Sabah.

Beliau berkata, UMNO bukan parti penjajah, sebaliknya sebuah parti yang lahir daripada semangat rakyat menuntut kemerdekaan dan membina negara bangsa. Di Sabah, UMNO diterima secara terbuka lebih 30 tahun lalu bagi memenuhi harapan rakyat yang mahukan kestabilan dan pembangunan menyeluruh.

Menurut beliau, kawasan DUN Balung merupakan antara kubu kuat Barisan Nasional di Pantai Timur Sabah yang perlu terus dipertahankan. Banyak kemajuan telah dibawa ke kawasan ini hasil perjuangan UMNO – termasuk infrastruktur asas, pendidikan, dan peluang ekonomi untuk rakyat.

Datuk Dr. Salleh turut menekankan peranan penting cawangan-cawangan UMNO sebagai benteng hadapan dalam memastikan rakyat terus bersama perjuangan parti.

“UMNO telah bertahan selama 79 tahun kerana semangat muafakat dan kekuatan akar umbi. Di Sabah, kita mesti pastikan Balung terus menjadi contoh kekuatan jentera parti yang tidak goyah,” katanya.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru semua ahli untuk terus bekerja keras, bersatu, dan melangkah ke hadapan demi agama, bangsa, dan negeri Sabah yang tercinta.