KUDAT: Seorang lelaki berusia sekitar 40 tahun ditemui meninggal dunia selepas mayatnya dijumpai terapung berhampiran tepi sungai di kawasan Empangan Milau, petang Rabu.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan pada 3.49 petang sebelum menghantar pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat.
Tujuh anggota dikerahkan dengan dua jentera, masing-masing FRT dan sebuah pacuan empat roda. Pasukan tiba di lokasi pada 4.33 petang.
Komander Operasi, PBK I John Francis Andam, berkata pasukan mengesahkan kehadiran satu mayat terapung sebaik tiba.
“Anggota kemudian menjalankan operasi mengangkat mayat menggunakan stretcher sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5 petang,” katanya melalui kenyataan.
Identiti mangsa belum dikenal pasti manakala pihak polis turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan.






