LIBARAN: Masyarakat Cina memberi keutamaan kepada parti tempatan pada Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 kali ini, termasuk sokongan kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub.
Ketua Bahagian Parti Liberal Demokratik (LDP) Sungai Sibuga, Lam Jin Dak berkata kerjasama antara semua kaum adalah keutamaan dalam memastikan kemenangan parti.

“Yang penting, kita mesti mahu bekerjasama. Bukan hanya masyarakat Bumiputera, bukan Bumiputera dan berbagai kaum mesti mahu bekerjasama supaya dapat memenangkan parti kita, GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program ziarah rumah ke rumah bersama Amirshah di Taman Fajar di sini pagi tadi.
Para Ketua Masyarakat Cina serta pemimpin komuniti Cina tempatan turut serta memberikan sokongan moral dalam program ziarah ini.

Dalam pada itu, Lam berkata masyarakat Cina kini lebih menitikberatkan parti tempatan kerana percaya bahawa “Rumah Kita, Kita Jaga,” dan memahami keperluan memilih wakil rakyat yang menjaga kepentingan semua kaum.
“Calon mesti mahu jaga semua kaum, semua bangsa. Tak kira Melayu, Cina atau Kadazan. Semua kalau dia jaga apa yang mereka janji, semua mahu laksana,” ujarnya.
Lam menjelaskan bahawa keperluan asas seperti air, elektrik dan jalan raya terus menjadi keutamaan masyarakat Cina di kawasan itu.
“Semua kemudahan… air, elektrik, sama itu jalan mesti mahu jaga bagus-baguslah supaya semua orang puas hati,” katanya.
Beliau menambah bahawa usaha lebih besar seperti menarik pelabur asing dan meningkatkan peluang pekerjaan merupakan langkah seterusnya yang sedang dibincangkan.
“Yang lain, kalau mahu memajukan lagi, macam mahu cari pelabur asing, macam mahu meningkatkan peluang pekerjaan, itu langkah seterusnya. Kami bincangkan macam mana mahu laksanakan,” katanya.
Pada PRN Sabah 29 November ini, Amirshah berdepan saingan lima penjuru di kerusi iaitu membabitkan Ismail Md Said dari Parti Impian Sabah (PIS), Nurulalsah Hassan Alban (WARISAN), Norani Asmatil dari Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Suhaimi Nasir (BN).






