Suspek Perogol Kanak-Kanak Ditahan 

Suspek Perogol Kanak-Kanak Ditahan 

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan di sebuah kampung di daerah ini kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat selepas dipercayai merogol kanak-kanak berusia lapan tahun di pekan sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, laporan polis dibuat oleh ibu saudara mangsa kira-kira jam 12 tengah malam Jumaat.

“Pengadu mengatakan bahawa kira-kira jam 8.30 malam anak saudaranya telah dibawa oleh seorang lelaki dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda ke tempat yang tidak diketahui…

“Kira-kira sejam kemudian, anak saudaranya telah ditemui dalam keadaan yang lemah di belakang sebuah pasar raya dan mangsa memaklumkan bahawa dia dirogol oleh suspek yang menghantarnya di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Semporna dan seterusnya dihantar ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

“Polis berjaya menahan suspek warga tempatan di sebuah rumah tidak bernombor dan suspek direman sehingga 27 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol kanak-kanak bawah umur 12 tahun dan jika disabit kesalahan dikenakan penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta dikenakan sebat,” katanya.