SPR, JPN PERLU BERI PENJELASAN ISU LONJAKAN PENGUNDI SABAH

SPR, JPN PERLU BERI PENJELASAN ISU LONJAKAN PENGUNDI SABAH

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerima borang permohonan menyertai GRS daripada bekas pemimpin dan penyokong Parti Warisan kawasan Tenom pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Parlimen Tenom sempena Program Jelajah GRS kawasan Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom, Tenom, hari ini...

TENOM, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi penjelasan berhubung lonjakan pengundi baharu di Sabah yang meragukan.

Katanya, perkara itu telah dibincang di Kabinet Negeri pada Rabu lalu dan meminta agar SPR dan JPN memberi penjelasan pada Selasa depan.

Beliau berkata,  lonjakan jumlah pengundi baharu yang terkandung dalam daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR di semua kawasan Parlimen di Sabah adalah meragukan.

“Ada sesuatu yang meragukan kita dan kita sudah bincang di peringkat Kabinet pada Rabu lalu…

“Kita minta penjelasan daripada SPR dan Pengarah JPN pada Selasa depan,” katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tenom sempena Program Jelajah GRS Kawasan Tenom, di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom, Tenom, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disambut oleh pemimpin dan penyokong GRS setibanya di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Parlimen Tenom sempena Program Jelajah GRS kawasan Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom, Tenom, hari ini…

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom, Datuk Rubin Balang.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, lonjakan pengundi baharu yang kebanyakannya didaftarkan sebagai Melayu dalam daftar pemilih terbaharu SPR mungkin bukan berasal dari negeri ini atau Semenanjung.

Katanya, perkara yang meragukan itu perlu dijelaskan oleh SPR kerana ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Ini tidak boleh dipandang mudah. Orang lain nanti datang ke kawasan kita.

“Kita tidak mahu orang dapat kuasa dari peti undi dengan cara ini, sebab itu kita buat laporan dengan pihak yang berkenaan,” tegasnya.

Hajiji berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan SPR berhubung lonjakan jumlah pengundi di Sabah selepas perkara itu dibangkitkan rakan parti dalam GRS, termasuk Jeffrey.

Berdasarkan daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR, Sabah kini mempunyai 1.68 juta orang pengundi berbanding 1.1 juta orang pada 2018 iaitu peningkatan 53.9 peratus.

Daftar pemilih yang diwartakan pada Julai lalu menunjukkan Parlimen Sepanggar mencatat jumlah pengundi tertinggi dengan 107,463 pengundi, diikuti Lahad Datu (99,741) dan Tawau (87,189).

Sementara itu, Hajiji mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengeluarkan sebahagian tanah dalam kawasan Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung untuk rakyat.

“Kita akan mengeluarkan tanah itu bagi memastikan rakyat kita yang tinggal di kawasan SFI mendapat kawasan perkampungan yang rasmi untuk anak cucu mereka,” katanya.

Hajiji juga meminta rakyat Sabah agar menolak parti pembangkang khususnya Warisan dan konco-konconya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Undilah calon GRS supaya kita dapat melakukan yang terbaik dalam perjuangan mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah. Supaya aspirasi rakyat dapat kita tunaikan”.

“Tunjukkan melalui undi bahawa rakyat Sabah sudah sedar dan boleh bersatu dalam GRS. Rakyat mesti menyokong dan mengundi calon-calon GRS, agar kita dapat menang dengan cemerlang dalam PRU-15”, tegasnya.

Pada majlis itu juga, Hajiji menerima kemasukan lebih 1,000 penyokong Parti Warisan  dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang beralih menyokong GRS di Tenom.