Bekalkan Elektrik, Air Kepada Tapak Tamu Niaga Kampung Bukau

Bekalkan Elektrik, Air Kepada Tapak Tamu Niaga Kampung Bukau

0
SHARE
Ruslan (kiri) menyantuni pemilik gerai dalam Pesta Bundle Keluarga Malaysia yang diadakan di Kg. Bukau, baru-baru ini...

BEAUFORT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam menyarankan agar Tapak Tamu Niaga Kampung Bukau di sini dibekalkan tenaga elektrik dan air.

Beliau berkata, ini kerana tapak tamu ini telah beroperasi selama lebih 10 tahun dengan kekurangan kemudahan tersebut. Hal ini menyebabkan peniaga dan pengguna tidak berminat untuk berjual beli di tapak tamu tersebut walaupun lokasinya yang strategik.

“Saya merasa sedih kerana walaupun Tapak Tamu Niaga Kampung Bukau ini telah beroperasi sejak 10 tahun lalu, belum mempunyai kemudahan bekalan elektrik dan air.

“Ini mengecewakan rakyat terutamanya para peniaga dan pengunjung…

Tambahnya, Tapak Tamu Niaga Kg. Bukau berpotensi besar kerana ia terletak pada laluan lebuh raya Pan Borneo.

“Ini sudah tentu dapat meningkatkan ekonomi rakyat dan mewujudkan peluang pekerjaan selain melahirkan ramai usahawan,” ujarnya.

Ruslan berharap agar wakil rakyat, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum apa-apa pembangunan dilaksanakan untuk mengelakkan ketirisan yang merugikan rakyat.

Ruslan turut menyarankan kepada pihak yang berkaitan untuk memastikan keperluan asas seperti elektrik dan air diberi perhatian dalam semua program pembangunan yang dilaksanakan.

Ruslan berkata demikian semasa merasmikan Pesta Bundle Keluarga Malaysia 2022 yang diadakan di Tapak Tamu Niaga Kg. Bukau di sini, Ahad (3 Julai).

Mengenai program itu, Ruslan berkata, ia dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang dipopularkan oleh Perdana Menteri.

“Saya yakin persefahaman dan kerjasama budaya bantu membantu tanpa mengira bangsa dan agama adalah tunjang kekuatan rakyat Malaysia yang perlu kita wariskan kepada generasi baharu dan ia boleh dipupuk melalui program ini dan dalam pergaulan masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau menjelaskan, kedua-dua program ini adalah untuk membantu Koperasi Usaha Maju Beaufort di Kg. Bukau mengerakkan pelbagai aktiviti jualan produk di kalangan usahawan dan para peniaga-peniaga kecil yang terdapat di sekitar kampung tersebut.

Turut diadakan semasa program ialah pertandingan pakaian beragam, pertandingan mewarna dan melukis yang melibatkan murid-murid empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukau, SK Lumadan, SK Karangan dan SK Maraba.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengerusi Koperasi Usahawan Niaga beaufort Berhad, Awang Anak.