SIBU, SARAWAK – DAP Sarawak mengekalkan dua penyandang dan mempertaruhkan seorang muka baharu untuk bertanding di tiga kerusi di wilayah tengah Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dua penyandang itu ialah Alice Lau Kiong Yieng akan mempertahankan kerusi Parlimen Lanang dan Oscar Ling Chai Yew (Sibu) yang dimenangi mereka pada PRU14.
Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Tony Chiew pula diketengahkan bagi bertanding di kerusi Parlimen Bintulu.
Memetik laporan Bernama, pengumuman calon-calon itu dibuat Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pada majlis makan malam DAP Sibu di sini malam tadi, yang turut dihadiri pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
Semalam, Chong mengumumkan DAP Sarawak akan bertanding di lapan kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU15 iaitu Mas Gading, Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Bintulu.