
KOTA KINABALU, SABAH – Projek jejantas ‘Sky Bridge’ yang bernilai RM31.5 juta akhirnya siap dan bakal dibuka untuk kegunaan orang awam pada 9 September (Khamis depan).
Hal ini berikutan campur tangan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Semasa pentadbiran kerajaan negeri sebelumnya, difahamkan projek tersebut ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja pada tahun 2018 kerana pihak pembangunnya (Developer) jatuh bankrap.
Namun, pada awal tahun ini Hajiji mengunjung tapak pembinaan itu dan dengan segera mengumumkan peruntukan RM4.7 juta peruntukan dari Kerajaan Negeri untuk menyiapkan projek tersebut.
Dia juga telah mengarahkan agar projek tersebut disiapkan secepat mungkin bagi kemudahan dan keselamatan orang ramai.
Pada majlis perasmian jejantas sepanjang 400 meter yang menghubungkan Oceanus, Api-Api Center, dan Asia City pagi tadi, Hajiji mengatakan bahawa penyempurnaan itu menunjukkan kerajaan GRS adalah kerajaan yang proaktif dan prihatin.

“Ini akan memberi manfaat kepada orang ramai, dari segi kemudahan dan keselamatan sejak ada beberapa kemalangan dilaporkan melibatkan pejalan kaki melintasi jalan antara Center Point dan Asia City,” katanya.
Beberapa lot kiosk juga disediakan di bahagian berhawa dingin Sky Bridge (berhadapan Warisan Square).

Turut hadir dalam majlis 11 pagi tadi ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Yong Teck Lee dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Puan Noorliza Alip.
Projek RM31.5 juta itu dibiayai Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri melalui Perjanjian Dana Fasilitasi antara Kerajaan Malaysia, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, dan Sunsea Development Sdn Bhd pada 9 Feb 2017.

Di bawah perjanjian tersebut, Kerajaan Malaysia berhak untuk menghentikan Dana Fasilitasi sekiranya pemaju menjadi bankrap.
Pembinaan jambatan pejalan kaki dan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di kawasan sekitarnya bermula pada 1 April 2017, dan dijadualkan siap dalam masa enam bulan (30 Sept 2017) tetapi kemudian dilanjutkan hingga 30 April 2018.
Sunsea Development Sdn Bhd diberi perintah penggulungan pada 18 April 2018.
Dengan 90 peratus (90%) projek sudah siap, kontraktor, Petrofiq Sdn Bhd menghentikan kerja-kerja pembinaan kerana tidak menerima pembayaran.