Bantuan Zakat MUIS Beri Kelegaan Kepada Ibu Bapa

Bantuan Zakat MUIS Beri Kelegaan Kepada Ibu Bapa

0
SHARE
Arifin
Arifin (tengah) dan pegawai-pegawai MUIS bergambar kenangan bersama para penerima zakat dalam Program Back To School Daerah Beaufort ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

BEAUFORT, SABAH – Sambutan bulan Ramadan yang bertembung dengan sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula Isnin ini, memberi cabaran besar kepada ibu bapa.

Mujurlah bantuan yang dihulur Bahagian Zakat Fitrah, Majlis Ugama Islam (MUIS) menerusi Program Back To School Daerah Beaufort memberi sedikit kelegaan kepada surirumah, Nur Syafinas James Abdullah, 48, dari Kampung Paung.

Ibu kepada empat anak itu menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan tersebut di kala dirinya serta suami berusaha untuk membuat persiapan kepada dua anaknya yang masih bersekolah, ditambah dengan persiapan Ramadan.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada MUIS, bantuan zakat ini betul-betul ringankan beban kewangan sebab kan sudahlah bulan puasa perlukan duit, budak di asrama lagi jadi banyak tanggungan kami.

“Tapi alhamdulillah, ini kali pertama saya dapat zakat memang bagus dan sangat membantu sebab sekarang harga barang semua pun mahal.

“Harap-harap bantuan zakat ini diteruskan untuk tolong lebih ramai orang-orang yang susah yang kurang mampu,” ujarnya dengan gembira.

Ketika ditemui, saudara baharu yang suaminya bekerja sebagai pekerja pembinaan jalan raya itu menemani anak ketiganya, Willona Natasha Hairon, 7, sambil menggendong anak bongsu, Ardani Arfa Qayyum Sazali, 2, membeli kelengkapan sekolah.

“Saya beli tiga beg sekolah dan dua sepasang kasut untuk Willona dan abang-abangnya, baju sekolah tidak beli sebab sekolah sudah bagi bantuan baju,” kata Nur Syarinas ketika berbelanja di sebuah pasar raya di sini, pada Sabtu.

Kelegaan sama turut dikongsi seorang datuk, Masli Bauk, 69, yang menanggung keperluan sekolah cucu sulungnya, Mohd Farizwan Izwan, 13, yang akan memasuki Tingkatan 1 di SMK Membakut, Isnin ini.

“Ibu bapa Farizwan bekerja hari ni, jadi sayalah yang membawanya untuk membeli beg, dua pasang baju sekolah dan sepasang kasut sekolah.

“Ini kali pertama terima zakat..memang sangat membantu sebab harga barang-barang sekolah sudah naik, syukur dan terima kasih banyak kepada MUIS,” luahnya.

Mereka merupakan antara 125 asnaf yang menerima bantuan zakat dalam fasa pertama merangkumi kawasan Membakut, Bongawan dan Beaufort.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dan Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad. — JABATAN PENERANGAN SABAH