BEAUFORT, SABAH – Sambutan Nuzul Al Quran 1445h/2024M akan diadakan di Masjid Negeri, pada 28 Mac ini.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Arif, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan berkolaborasi dengan Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) dalam penganjuran kali ini dan mengundang pendakwah terkenal dari negara jiran.
“MUIS dan JHEAINS sedang menyusun program sepanjang ramadan antaranya termasuklah Nuzul AL Quran yang akan diadakan dengan kerjasama MUTIARA GRS yang melibatkan golongan wanita.
“Kita mengundang seorang tokoh pendakwah dan selebriti yang terkenal di Indonesia iaitu Derry Sulaiman yang akan menyampaikan ceramah berkaitan Nuzul Al-Quran dan Ramdan pada 28 Mac ini di Masjid Negeri Sabah manakala, Seminar Nuzul Al-Quran diadakan di Wisma MUIS,” ,” katanya kepada media dalam Program Back To School Daerah Beaufort di sebuah pasar raya di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai program itu, Arifin berkata program berkenaan melibatkan 125 asnaf dari kawasan Membakut, Bongawan dan Beaufort termasuk mangsa kebakaran di Kampung Laut Bongawan baru-baru ini.
“Hari ini MUIS melalui Bahagian Zakat dan Fitrah menyantuni anak-anak yang akan kembali ke sekolah dengan seramai 125 anak-anak dari kawasan Membakut, Bongawan dan Beaufort.
“Ini termasuk anak-anak yang rumah keluarga mereka terlibat dengan kebakaran di Bongawan lebih kurang lebih 30 orang.
“Ini adalah fasa pertama yang dilaksanakan oleh Bahagian Zakat Fitrah MUIS yang menyantuni enam bahagian melibatkan lebih 1,000 orang anak asnaf yang akan menerima bantuan dengan belanja lebih kurang RM500,000,” jelasnya.
Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan memaklumkan, MUIS dan JHEAINS akan meneruskan fasa kedua pada masa akan datang melibatkan asnaf yang lain. — JABATAN PENERANGAN SABAH