AIM Terbukti Berkesan Tangani Insiden Kemiskinan, Bangunkan Usahawan Wanita 

AIM Terbukti Berkesan Tangani Insiden Kemiskinan, Bangunkan Usahawan Wanita 

0
SHARE
Ewon
Ewon ketika berucap menyempurnakan Program ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran AIM, di Dewan Terbuka Kadamaian Square ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA BELUD, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membantu usahawan di seluruh negara terbukti berkesan menangani insiden kemiskinan dengan membangunkan usahawan wanita.

Sebab itu katanya, AIM telah dipilih untuk menjadi agensi peneraju bagi program khas kementerian iaitu program menoktahkan kemiskinan di tiga daerah termiskin di Sabah iaitu Kota Marudu, Kudat dan Kota Belud.

“Kejayaan AIM menangani kemiskinan dan membangunkan usahawan wanita telah terbukti melalui kejayaan usahawan yang menerima pembiayaan daripada agensi itu.

“Itu sebabnya di peringkat kementerian, kita telah memilih AIM menjadi agensi peneraju untuk program khas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi iaitu program menoktahkan kemiskinan di tiga daerah yang paling banyak insiden kemiskinan.

“Kita sedang memperincikan pelaksanaan program ini dan selepas dimuktamadkan nanti, kita akan lancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran AIM, di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, semalam.

Mengenai kemudahan di kawasan Kadamaian Square, Ewon berkata, kawasan itu akan dipasang tiang lampu bagi membolehkan para peniaga di kawasan itu termasuk Sahabat AIM menjalankan perniagaan pada waktu malam.

“Kementerian saya akan melaksanakan Projek Tamu Desa bermula tahun ini dan kita akan menaik taraf kemudahan di kawasan Kadamaian Square supaya Tamu Malam di sini dapat diteruskan,” katanya.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Ewon berkata, setakat ini AIM telah membantu lebih 320,000 usahawan wanita di seluruh negara dan daripada jumlah itu hampir 54,000 Sahabat AIM atau usahawan wanita adalah dari Sabah.

“Ini satu jumlah yang besar dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di kalangan wanita dan membentuk peratusan tinggi dari segi pemilikan PMKS di negara kita.

“Kejayaan itu atas usaha dan peranan AIM iaitu satu daripada agensi di bawah kementerian saya,” katanya.

Ewon berkata, berdasarkan kunjungannya ke premis usahawan AIM di beberapa negeri setakat ini, kebanyakan usahawan AIM yang sebelumnya hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan kini mencapai kejayaan besar hasil pembiayaan daripada AIM.

Beliau berkata, usahawan AIM bukan setakat berjaya mengembangkan perniagaan daripada skala kecil kepada perniagaan skala besartetapi juga mampu membantu usahawan-usahawan lain.

“Saya sendiri telah mengadakan kunjungan ke lapangan untuk melihat perusahaan Sahabat-sahabat AIM di kedai dan mini kilang, mereka amat menghargai bantuan sama ada pembiayaan, bimbingan atau sokongan AIM.

“Sebab itu, kita amat menghargai peranan AIM untuk membangunkan usahawan wanita di negara ini. Saya juga mahu setiap kisah kejayaan mereka ditonjolkan untuk dijadikan motivasi kepada wanita lain agar sama-sama mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid berkata tahun ini, AIM memperuntukkan sebanyak RM231.6 juta untuk Sabah bagi membolehkan lebih ramai Sahabat Usahawan dan wanita Sabah menerima manfaat melalui pelbagai skim pembiayaan.

“Di seluruh Sabah AIM ada seramai 53,912 iaitu hampir 54,000 usahawan wanita bernaung di bawah AIM.

“Daripada jumlah itu seramai 3,757 Sahabat AIM daripada Kota Belud dan 1,356 merupakan Sahabat Usahawan dalam DUN Kadamaian meliputi enam Blok dari 35 Pusat,” katanya.