PENAMPANG: Tindakan pantas dan penuh keprihatinan oleh seorang anggota pegawai PDRM iaitu, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Penampang, ASP Arisanti Aziz berjaya membantu menenangkan keadaan selepas berlaku kemalangan jalan raya di Jalan Bukit Padang, Minintod, pagi tadi.
Menurut kenyataan Polis Penampang, insiden itu berlaku ketika ASP Arisanti dalam perjalanan menghadiri mesyuarat luar jabatan.
“Beliau segera menghentikan kenderaan dan bergegas memberikan bantuan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki, sebelum ketibaan pasukan ambulans.
“Sikap tangkas dan empati yang ditunjukkan pegawai berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan kesakitan mangsa, malah menggambarkan nilai kemanusiaan dan profesionalisme tinggi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa bersedia membantu masyarakat pada bila-bila masa dan di mana jua,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Tindakan tersebut turut mencerminkan semangat sebenar warga PDRM yang berpaksikan moto “Polis dan Masyarakat, Berpisah Tiada” serta prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga. Daerah Kita, Kita Lindungi Bersama.”






