Lelaki Hilang Disyaki Dibaham Buaya di Lahad Datu, Operasi SAR Hari Kedua...

Lelaki Hilang Disyaki Dibaham Buaya di Lahad Datu, Operasi SAR Hari Kedua Diteruskan

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti memancing di Kampung Silabukan Peringkat 2, Lahad Datu pada malam Selasa.

Menurut kenyataan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, panggilan kecemasan diterima daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 9.06 pagi Rabu, melaporkan kejadian tersebut yang dipercayai berlaku sekitar jam 8.30 malam sebelumnya.

Mangsa dikatakan turun ke sungai untuk membaiki pukat sebelum rakan-rakannya mendengar bunyi kocakan kuat dan percikan air. Mereka kemudian menyedari mangsa tidak lagi kelihatan di permukaan sungai.

Komander Operasi, PB Shareen, memaklumkan bahawa pasukan penyelamat memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8.48 pagi bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (PERHILITAN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta bantuan orang awam.

Operasi pencarian melibatkan penggunaan bot aluminium bomba dengan liputan kawasan sejauh 5 kilometer ke hilir sungai dan 3 kilometer ke hulu sungai dari lokasi dipercayai mangsa diserang.

Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai dan operasi diteruskan dengan pemantauan rapi di sepanjang sungai Silabukan.

Operasi dikendalikan oleh lapan anggota, empat dari BBP Lahad Datu dan empat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Silabukan menggunakan satu jentera pacuan empat roda jenis DMAX serta sebuah bot aluminium.

Turut berada di lokasi ialah empat anggota PDRM, lima anggota PERHILITAN, dua anggota KKM serta sekitar 25 orang awam yang turut membantu usaha pencarian.

Ketua Balai BBP Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya akan meneruskan pencarian sepanjang hari dan memberi tumpuan di kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti sebagai habitat buaya.

“Mangsa dikenal pasti sebagai lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun dan setakat ini masih berstatus belum dijumpai. Pihak bomba menasihatkan penduduk sekitar agar berhati-hati dan mengelakkan aktiviti di sungai berkenaan buat sementara waktu,” katanya di sini, hari ini.

Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada BBP Lahad Datu melalui Komander Operasi PB Shareen di talian 013-2151518 atau Ketua Balai BBP Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid di talian 011-70333369