Sindiket Ancam Mahu Bakar Stesen Minyak Jika Tak Jual Diesel Bersubsidi

Sindiket Ancam Mahu Bakar Stesen Minyak Jika Tak Jual Diesel Bersubsidi

0
SHARE
Datuk Armizan Mohd Ali, Ahli Parlimen Papar

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan menerima laporan daripada pemilik stesen minyak memaklumkan mereka diancam dan diugut sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada kumpulan terbabit.

Memetik sumber Berita Harian, menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata antara lain ancaman yang diterima pemilik dan pekerja stesen minyak terbabit termasuk sindiket yang mahu membakar stesen minyak dan merosakkan kemudahan yang ada.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan dan mahu stesen minyak lain sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang turut menerima ancaman sama, membuat laporan secara rasmi kepada KPDN dan mereka tidak perlu bimbang kerana maklumat dirahsiakan.

“Kita tahu ada pemilik stesen minyak sebelum ini enggan berkongsi maklumat dan tidak membuat laporan polis kerana khuatir jika melaporkan kejadian itu, mereka akan diancam sindiket penyeludupan.

“Kes penyeludupan diesel yang berleluasa sebelum ini perlu dikekang, jadi kita perlu mendapatkan maklumat bagi membolehkan siasatan, penguatkuasaan dan tangkapan dilakukan KPDN,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024, di sini, hari ini.

Armizan berkata, kegiatan penyeludupan dan ketirisan penjualan barangan bersubsidi adalah satu sabotaj terhadap usaha kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, setakat ini, KPDN dan polis sedang mengumpulkan laporan untuk melakukan siasatan terhadap kes atau sindiket berkenaan dengan ada di antaranya berjaya ditumpaskan.

Sementara itu, Armizan ketika berucap, berkata Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut menawarkan pengecualian fi bagi Perkhidmatan Pendapat dan Carian Awal (PCA) bagi cap dagangan untuk tempoh sebulan bermula dari 24 April hingga 23 Mei ini tertakluk kepada terma dan syarat.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat bagi menggalakkan lebih banyak pendaftaran cap dagangan, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai usahawan dapat melindungi hak harta intelek mereka.