KOTA KINABALU, SABAH – Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi bagi menentukan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Sembrong dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Penyandang kerusi Parlimen Sembrong dan juga Menteri Pertahanan itu berkata keputusan untuk bertanding bukan diputuskan oleh beliau.
“Bukan saya untuk menentukan dimana saya akan bertanding. Bagi saya yang penting ialah kita buat persiapan…
“Mereka di Sembrong, sebelum Parlimen dibubarkan telah dididik supaya siapa saja calon yang diputuskan pucuk pimpinan, gerak kerja kita sebelum penamaan calon mesti berjalan.
“Apa tugas kita sekarang? Ia adalah untuk memastikan jentera siap sedia untuk memenangkan siapa saja yang parti calonkan dalam PRU-15 akan datang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media sempena sesi lawatan beliau di Sabah bertempat di Dewan Kinabalu, Kem Lok Kawi, semalam.





