Polis Masih Siasat Kes Guru Salah Laku Seksual Dengan Pelajar

Polis Masih Siasat Kes Guru Salah Laku Seksual Dengan Pelajar

0
SHARE
PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

PUTRAJAYA, SELANGOR – Polis masih menjalankan siasatan ke atas seorang guru wanita yang dikatakan melakukan kesalahan seksual terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Memetik sumber Berita Harian, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata polis menerima laporan pada 12 Disember lalu mendakwa suspek yang berusia 37 tahun mencabul mangsa, ketika mengulang kaji bersama guru terbabit di perpustakaan sekolah.

Katanya, laporan dibuat pada 10.30 malam oleh ibu mangsa berusia 46 tahun yang mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anak lelakinya, selepas mangsa pulang dari ulang kaji Matematik bersama suspek.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember lalu kira-kira jam 4.50 petang apabila mangsa yang sepatutnya pulang ke rumah sebaliknya masih bersama suspek di perpustakaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Sebelum ini tular di media sosial seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun sudah mempunyai suami dan lima orang anak.

Wan Kamarul berkata, polis akan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Rraya untuk arahan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebatan.