KOTA KINABALU: Kebergantungan berlebihan Sabah terhadap gas asli tidak mampan untuk jangka panjang dan boleh menghalang keselamatan tenaga serta pertumbuhan industri negeri, kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC), Datuk Harun Ismail.
Berucap pada Persidangan dan Pameran Minyak & Gas Sabah (SOGCE) 2025, Harun berkata Sabah kini bergantung kepada gas asli sebanyak 90 peratus untuk keperluan tenaga, berbanding Sarawak yang memiliki rizab lebih besar.
Katanya, keadaan ini memerlukan pelan peralihan jelas ke arah tenaga boleh diperbaharui.
Beliau menyatakan potensi sumber tenaga alternatif di Sabah masih belum diterokai sepenuhnya, seperti tenaga lautan (ocean thermal) yang mampu menjana 2,000 megawatt, namun kos tinggi menjadi halangan.
Potensi hidro pula terbatas sekitar 100 hingga 150 megawatt, manakala tenaga geoterma di Tawau dianggarkan dalam julat yang sama.
“Tanpa pelaburan dan penyelidikan segera dalam tenaga alternatif, Sabah akan terus dibelenggu risiko tenaga dan pertumbuhan industri yang terhad,” tegasnya.
Harun turut menyatakan bahawa penumpuan industri kepada gas telah mengehadkan perkembangan subsektor tenaga lain di Sabah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kemajuan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), termasuk pengoperasian Pelabuhan SOGIP melalui anak syarikat baharu, SOGIP Port Sdn Bhd, sebagai langkah penting dalam pembangunan industri tenaga Sabah.
Beliau turut menegaskan komitman SOGDC dalam pembangunan modal insan dengan kerjasama institusi seperti UMS dan Politeknik Kota Kinabalu, bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang bersedia menghadapi perubahan sektor tenaga.






