Eksesais D’Westssea Thunder 2024 Uji Kesiapsiagaan Keselamatan

Eksesais D’Westssea Thunder 2024 Uji Kesiapsiagaan Keselamatan

0
SHARE
Mkn
Mohd Noor (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Noor Alam (dua dari kiri) disaksikan Tarmizi (kiri) dan A. Malik (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Eksesais D’Westssea Thunder 2024 menguji kesiapsiagaan agensi keselamatan dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di perairan Sabah.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Datuk Noor Alam Khan A. Wahid Khan berkata eksesais julung kali diadakan itu adalah untuk menguji dan menyelaras Pelan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Plan-ERP) dalam kalangan pegawai dan kakitangan MKN negeri, agensi keselamatan dan penguatkuasaan peringkat negeri Sabah serta kakitangan Petronas melalui konsep guided tutorial exercise.

“Objektif utama yang cuba diterapkan dalam eksesais ini adalah untuk membantu membimbing, melatih staf di bilik kawalan dan kakitangan PETRONAS di pelantar pesisir pantai dalam bertindak sewaktu kecemasan atau semasa berlaku krisis.

“Selain daripada itu, eksesais ini dilihat mampu melatih anggota keselamatan pelantar dari aspek sistem penyampaian maklumat agar lebih cekap dan berkesan dalam bertindak kepada ERP yang melibatkan sistem keselamatan, pengawasan dan amaran awal yang dipasang di fasiliti dan kemudahan PETRONAS agar selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi keselamatan penguatkuasaan dan agensi-agensi berkaitan di negeri Sabah.” ujarnya ketika merasmikan penutupan Bengkel Eksesais D’Westssea Thunder 2024 di sini, pada Khamis.

Jelasnya, pemilihan Sabah sebagai lokasi eksesais adalah kerana terdapatnya pelantar-pelantar minyak PETRONAS yang banyak terutama di kawasan Pantai Barat Sabah selain terdapat keperluan untuk pemegang-pemegang taruh daripada agensi kerajaan untuk turut serta sekaligus dapat memperkemas prosedur agensi masing-masing terutama semasa menghadapi ancaman dan krisis.

“Adalah diharapkan eksesais ini dapat mencapai objektifnya selain dapat mewujudkan sinergi di antara agensi-agensi kerajaan dengan PETRONAS.

“Terima kasih juga diucapkan kepada penganjur dan sekretariat eksesais ini iaitu pihak PETRONAS dan Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) yang telah dapat merealisasikan pelaksanaan eksesais ini semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan sekaligus dapat memartabatkan kedaulatan negara di masa hadapan,” jelas beliau.

Seramai 100 orang peserta terdiri dari anggota daripada MKN, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Jabatan Penyiaran Sabah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Sabah, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan enam anak syarikat PETRONAS menyertai eksesais selama dua hari bermula 21 Februari.

Hadri sama, Pemangku Ketua Keselamatan Kumpulan PETRONAS, Ts. Mohd Noor Ahmad, Pengarah PPON MKN, Tarmizi Dan serta Kumpulan Keselamatan PETRONAS, A. Malik Ibrahim. — JABATAN PENERANGAN SABAH