Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024 Perkenal Bengkel Tarian, Muzik Tradisi

Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024 Perkenal Bengkel Tarian, Muzik Tradisi

0
SHARE
Bajau
Abdul Kassim ketika sidang media di Kampung Lok Batik, Tuaran ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024 menampilkan dua program baharu iaitu bengkel tarian tradisi dan bermain alat muzik etnik Bajausama.

Setiausaha Agung Persatuan Rumpun Bajausama Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, orang ramai boleh hadir menyertai aktiviti-aktiviti tersebut yang dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih mahir.

“Bengkel belajar bermain muzik tradisi Bajausama dijadualkan pada 26 Februari bermula 10.00 pagi sehingga 12.30 tengahari manakala kelas tarian tradisi pada hari berikutnya,” katanya semasa sidang media di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, pada Khamis.

“Sementara itu, bagi acara tahunan seperti Pertandingan Betitik, Soromas dan Ratu Serimpak juga diadakan dimana para pemenang membuat penampilan khas di kemuncak festival atau majlis penutupan yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Februari.

“Penyanyi yang menjuarai Bintang Soromas, iaitu pertandingan nyanyian lagu-lagu Bajausama akan dipilih oleh persatuan untuk membuat rakaman lagu-lagu Bajausama.

“Selain itu, pemenang Ratu Serimpak yang merupakan pertandingan memperagakan busana Bajausama akan mendapat tajaan biasiswa Kolej Universiti Yayasan Sabah,” ujarnya merangkap Pengerusi Pelaksana Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024.

Bagi menarik kehadiran pelancong, Abdul Kassim memberitahu persatuan yang mempunyai 18 cawangan seluruh Sabah tersebut juga berkolaborasi dengan beberapa operator dan agensi industri pelancongan seperti Lembaga Pelancongan Sabah, Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) di peringkat persekutuan.

Festival tahunan tersebut akan berlangsung empat hari bermula Ahad ini sehingga Rabu depan. — JABATAN PENERANGAN SABAH