160 Murid Sertai Program Kembali Ke Sekolah

160 Murid Sertai Program Kembali Ke Sekolah

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey (tengah) bergambar kenangan bersama para penerima bantuan peralatan sekolah, tenaga pengajar dan ibubapa ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Seramai 160 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Putatan dan SK Kampung Contoh menyertai Program Kembali Ke Sekolah.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, program tersebut melibatkan dua aktiviti iaitu pertama, pengagihan bantuan sekolah daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) khususnya kepada murid-murid dari golongan keluarga berpendapatan rendah.

“Satu lagi aktiviti yang dijalankan ialah perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada murid-murid dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).

“Program ini diadakan untuk persiapan murid-murid menjelang pembukaan sesi persekolahan pada 11 Mac nanti.

“Saya berharap aktiviti-aktiviti ini dapat membantu meringankan kos persediaan kembali ke sekolah di kalangan keluarga berpendapatan rendah yang terdapat di daerah Putatan,” katanya semasa merasmikan Program Kembali Ke Sekolah, Gunting Rambut dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Premis Makan/Restoran Daerah Putatan, pada Khamis.

Pada majlis itu, Restoran Taufik diumumkan memenangi kategori premis terbuka manakala Restoran BTC mengungguli kategori restoran tertutup bagi pertandingan kebersihan dan keceriaan yang mendapat 78 penyertaan secara keseluruhannya.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berharap dengan adanya pengiktirafan kepada para pengusaha premis makanan, hidangan akan sentiasa terjamin tahap kebersihan dan keselamatannya.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kanan, Mohamad Ikram Aidi, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, ASP Abdul Jain Asbah, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Maarof Abd Wahid dan Pegawai Latihan Kanan JPSM, Justina Lojuti. — JABATAN PENERANGAN SABAH