KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Belia Sabah (MBS) yakin dan percaya keputusan kerajaan negeri melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu bermula 29 Jun 2021 bertepatan dengan situasi semasa negeri Sabah.
Timbalan Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan berkata, keputusan kerajaan negeri mengekalkan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, membuktikan Ketua Menteri sentiasa peka dan mendengar pandangan serta rintihan rakyat di peringkat akar umbi yang terjejas teruk sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 1.0 sehingga 3.0.
Katanya, larangan rentas daerah dan keputusan mengguna pakai sebahagian besar SOP PKP 3.0 jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak mengabaikan langkah-langkah pengawalan dan pencegahan yang dipraktikkan ketika Sabah mengekalkan status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada April lalu.
Beliau berkata, MBS menghargai keprihatinan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yakob yang mencadangkan agar negeri Sabah mengguna pakai SOP PKP 3.0 atau memperketatkan lagi SOP sedia ada.
“Ia bagi memastikan keputusan yang diambil kini tidak mendatangkan implikasi negatif pada masa akan datang…
“Bagaimanapun, penyeragaman SOP di seluruh negara tidak sesuai serta akan melambatkan PPN kerana terdapat negeri-negeri yang merekodkan kes jangkitan harian yang rendah dan terkawal.
“Justeru, SOP yang lebih fleksibal perlu dipraktikkan khususnya di negeri-negeri yang mencatat kes positif COVID-19 harian yang rendah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, keputusan itu akan memanfaatkan semua pihak khususnya rakyat yang semakin tertekan dan terhimpit akibat hilang punca pendapatan dan pekerjaan.
Pihaknya turut berharap agar Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) digerakkan dengan lebih menyeluruh dan agresif khususnya di bandar-bandar utama.
Katanya, langkah itu bagi memastikan pembukaan sektor ekonomi dapat diperluaskan seterusnya beroperasi seperti seperti biasa. Program Outreach bagi komuniti Desa dan Pedalaman, Vaksinasasi Mobile (MOVAC), Vaksinasi Pandu-Lalu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) juga perlu diperhebatkan.
“Ia selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang menyasarkan vaksinasi harian kepada 30,000 orang pada bulan akan datang dapat dicapai…
“PPN fasa satu untuk Sabah mampu meransang kembali ekonomi negeri ini yang terjejas teruk, selain mengurangkan tekanan dan bebanan kewangan yang dihadapi rakyat secara keseluruhannya kerana tidak beroperasi untuk suatu tempoh yang lama akibat pelaksanaan PKP 3.0,” katanya.
Sehubungan itu, MBS menggesa agar seluruh rakyat negeri Sabah tanpa mengira latar belakang politik, agama, bangsa mahupun sosio-ekonomi untuk berganding bahu menyokong usaha dan inisiatif yang diumumkan Ketua Menteri.