COPENHAGEN – Gelombang kedua COVID-19 akan berlaku jika orang ramai terus mengingkari langkah kawalan di negara masing-masing, demikian amaran keras yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
WHO dalam satu kenyataan menggesa setiap orang berdisiplin selepas didapati berlaku peningkatan ketara jangkitan coronavirus di Eropah berbanding dua bulan lalu.
Memetik laporan AFP, Pengarah wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge berkata, minggu lalu jumlah kes meningkat 10 peratus, didorong peningkatan pergaulan, perjalanan, perhimpunan dan kelonggaran sekatan sosial.

“Akan ada gelombang baru di Eropah kecuali kita terus berdisiplin mematuhi langkah kawalan,” katanya.
Tambah Kluge, peningkatan kes berlaku disebabkan varian delta yang kali pertama dikesan di India dan sangat mudah tersebar berbanding alpha, julung kali dikesan di Britain.
Malah, katanya, varian delta mampu menjadi dominan di Eropah yang terdiri dari 53 negara dan wilayah termasuk beberapa negara di Asia Tengah, menjelang Ogos ini.
“Purata pemberian vaksin di wilayah WHO di Eropah hanyalah 24 peratus, di mana separuh daripada warga emas dan 40 peratus petugas kesihatan masih lagi belum dilindungi…
“Ini tidak dapat diterima dan jauh daripada purata 80 peratus perlindungan sepenuhnya kepada penduduk yang disyorkan.
“Pemberian vaksin tiada di kawasan yang memerlukan perlindungan, di mana dua dos mencukupi untuk melindungi diri daripada varian delta,” katanya.





