Perlu Pendekatan Baharu Dekati Golongan Pengundi Berusia 18 Tahun: Bung

Perlu Pendekatan Baharu Dekati Golongan Pengundi Berusia 18 Tahun: Bung

0
SHARE

LABUAN – UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melakukan beberapa pendekatan baharu bagi mendekati 5.8 juta golongan remaja berusia 18 hingga 21 tahun yang berdaftar sebagai pengundi secara automatik bermula pertengahan disember tahun lepas.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, parti tersebut perlu mengetahui pemikiran, cita rasa serta kehendak pengundi muda dan dalam masa yang sama mendengar pandangan serta suara kumpulan pengundi tersebut.

“Kita perlu memberikan perhatian khusus…Kita tidak boleh membiarkan seolah-olah kita tidak mengambil apa-apa langkah dan pendekatan ini kerana bukannya mudah memikat hati golongan ini.

“Sebahagian besar daripada mereka tidak berminat dengan politik,” katanya…

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan UMNO Bahagian Labuan, baru-baru ini.

Bung ketika berucap di majlis tersebut…

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Labuan, Senator Bashir Alias; Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Ketua Puteri Umno Sabah Datuk Dr. Fadliah Sabri.

Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata ianya satu pengalaman baharu bagi golongan pengundi dalam usia itu dan kebanyakanya remaja lepasan sekolah masih belum terdedah secara meluas mengenai konsep kenegaraan politik dan mengundi.

“Sebagai pemimpin akar umbi, pertama sekali kita perlu memberikan penerangan dan pendedahan awal yang secukupnya kepada pengundi pertama kali ini supaya mereka memahami serta mengetahui pentingnya setiap undi dalam proses membina negara,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata dasar-dasar sedia ada dalam parti dan pendekatan baharu kempen untuk golongan pengundi juga perlu berbeza sesuai mengikut corak pemikiran mereka termasuklah penggunaan media sosial.

“Kita tidak boleh guna cara lama yang sudah lapuk kerana genarasi alpha dan beta ini cukup berbeza…

dengan pendedahan kepada teknologi serta gaya hidup terkini yang mereka tempuhi selama ini,” katanya.

Bung berkata dalam landskap politik hari ini, perkembangan platfrom media sosial, budaya politik matang amat penting diterapkan kepada golongan pengundi pertama ini.

Menurut Bung lagi, amanah untuk mendekati dan memikat hati golongan pengundi 18 tahun ini bukan semata-mata terletak di bahu pergerakan pemuda atau Puteri Umno namun ianya menjadi tanggungjawab semua pemimpin akar umbi.

“Walaupun kita menggunakan pendekatan baharu namun turun padang tetap perlu dilakukan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri dengan mempelbagaikan program yang selari dengan minat golongan pengundi 18 bagi memenuhi aspirasi golongan tersebut,” tambah Bung.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan pendekatan yang sesuai dan mesra kepada golongan pengundi 18 itu, mereka akan terus memberikan sokongan terhadap apa juga dasar dan program kerajaan demi masa depan mereka agar lebih terjamin.