TAIPEI, TAIWAN – Hampir 70 hari bergantung kepada alat bantuan alat pernafasan sejak 21 April lalu, seorang kanak-kanak lelaki akhirnya meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada otak.
Memetik laporan akhbar New York Post, mangsa yang dikenali sebagai Wei Wei berusia 7 tahun alami kecederaan tersebut semasa menyertai kelas sukan judo.
Bapa saudara kanak-kanak itu dilaporkan merakam kelas judo Wei Wei ketika insiden berlaku kerana mahu menunjukkan kepada ibu Wei Wei bahawa sukan itu tidak sesuai untuk anaknya.
Dalam rakaman yang mengerikan itu, rakan sekelas Wei Wei dilihat menghempas tubuh kanak-kanak itu sebanyak 27 kali dan sepanjang kelas berlangsung, Wei Wei kedengaran menjerit “kepala saya”, “kaki saya”, dan “saya tidak mahukannya”.
Insiden itu menyebabkan Wei Wei mengalami pendarahan pada bahagian otak dan seterusnya koma.
Jurulatih berusia lewat 60-an yang hanya dikenali sebagai Ho itu dibebaskan dengan ikat jamin AS$3,583 (RM14,890). Dia akan didakwa kerana melakukan serangan fizikal yang mengakibatkan kecederaan serius serta menggunakan kanak-kanak bawah umur untuk melakukan jenayah.
Dalam pada itu, Ho juga bakal didakwa kerana menyebabkan kecederaan badan pada 4 Jun, namun, tuduhannya sekarang akan diubah menjadi ‘kecederaan menyebabkan kematian’ dan dia akan menghadapi TUJUH (7) tahun penjara jika disabit kesalahan.