Sindiket Seludup Makanan Beku Dipecahkan, Rampasan Cecah RM33 Juta

Sindiket Seludup Makanan Beku Dipecahkan, Rampasan Cecah RM33 Juta

0
SHARE
Sejuk beku
Salah sebuah gudang yang diserbu pasukan penguatkuasa di Lok Kawi ( Sumber Foto: Ihsan IPK )

KOTA KINABALU, SABAH – Polis merampas makanan sejuk beku bernilai lebih RM33 juta dari beberapa gudang di sekitar kawasan Kota Kinabalu dan Papar yang telah beroperasi sejak sedekad yang lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata lima serbuan dibuat di bawah Ops Kontraban bermula 4 hingga 16 Januari.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah gudang di Jalan Lok Kawi, Kinarut, Papar. Serbuan jam 8.45 malam itu menyaksikan rampasan sejumlah 17,926 kotak dan 212 paket plastik bahagian ayam sejuk beku, 22,763 kotak aneka ikan dan 2,107 kotak berisi sosej dan nuget berjumlah RM 21.35 juta,” katanya.

Serbuan kedua turut dilakukan pada hari yang sama kira-kira jam 9 malam di kawasan perindustrian di Papar.

Idris berkata, kira-kira 3,468 kotak dan 794 paket plastik ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM967,284 dirampas.

Serbuan ketiga menyaksikan makanan sejuk beku bernilai kira-kira RM8.29 juta dirampas dari sebuah gudang di Kinarut pada 14 Jan, manakala kira-kira RM2.553 juta makanan sejuk beku turut dirampas polis dalam serbuan keempat di Kinarut pada 15 Jan.

Serbuan kelima adalah di sebuah gudang di Putatan di mana kira-kira 2,800 kotak sayap ayam sejuk beku dan 760 kotak paha ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM577,320 dirampas pada 16 Jan.

Idris berkata sejumlah RM33.686 juta makanan sejuk beku dirampas polis dalam lima serbuan itu.

Beliau berkata semua makanan sejuk beku itu tidak melalui saluran import yang sepatutnya bagi mengelak cukai selain tidak mempunyai logo halal.

“Seramai 33 lelaki tempatan termasuk seorang lelaki warga Indonesia berusia 19 hingga 51 tahun telah direman bagi membantu siasatan polis.

“Berdasarkan siasatan, terdapat sembilan sindiket yang dikenal pasti mengimport makanan sejuk beku tanpa kelulusan kastam di Sabah.

“Kami akan meneruskan siasatan dan serbuan untuk menghentikan kegiatan haram ini,” katanya.

Keseluruhan operasi itu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Biro Jenayah Jabatan Hidupan Liar, Pasukan Gerakan Am Sabah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah, dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.