SANDAKAN, SABAH – Seramai 22 orang pelajar Program Kerja Sosial daripada Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai Program Komuniti Siri 2/2023 bertempat, di sini bermula 13 sehingga 15 Januari, baru-baru ini.
Ketua Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Dr. Wanda Kiyah Anak George Albert berkata program terbabit dijalankan bersama penduduk Kampung Tinusa 2.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerja komuniti terbabit dilaksanakan bagi memberikan pendedahan kepada pelajar untuk bekerjasama dan memahami sesebuah komuniti.
“Selain itu ia bertujuan untuk membantu komuniti tempatan mengenal pasti, merancang dan membuat tindakan untuk memenuhi keperluan mereka dengan mendedahkan mereka dengan bantuan sumber-sumber dan perkhidmatan yang terdapat di dalam komuniti mereka.
“Pendedahan kepada perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh profesion kerja sosial ini dapat membantu komuniti tempatan berfungsi dengan lebih efektif, berkemampuan dan berkeupayaan mendapatkan apa yang diperlukan oleh mereka berdasarkan kepada permasalahan yang dialami,” katanya.
Wanda Kiyah berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Selain itu, beliau turut menyatakan program terbabit turut dipelajar tahun pertama dan kedua selain pelajar tahun akhir dalam fakulti terbabit.
Katanya, menerusi program ini, beliau berharap sedikit sebanyak dapat mendedahkan pelajar dengan praktis kerja sosial sebenar yang dijalankan bersama komuniti dan seterusnya mampu menjadikan komuniti atau masyarakat cakna kepada profesion kerja sosial.
Ketua Kampung Tinusa 2, Norsidy Lumby dalam kenyataan yang sama mengatakan program terbabit yang julung kalinya diadalam kawasan pantai timur khususnya daerah Sandakan telah berjaya mengeratkan silaturahim antara komuniti kampung itu.