Perubahan Had Laju Di Kawasan Kota Kinabalu Bantu Kurangkan Risiko Kemalangan

Perubahan Had Laju Di Kawasan Kota Kinabalu Bantu Kurangkan Risiko Kemalangan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persimpangan U bertingkat dan susur keluar masuk Jalan Lintas berhampiran Lintas Plaza, Klinik Luyang di sini menjadi antara faktor kepada perubahan had laju dari 80 kilometer kepada per jam (km/j) 60 km/j.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, perubahan had laju itu juga merupakan antara langkah keselamatan yang diambil Kerajaan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di laluan tersebut.  

“Bagi laluan dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Inanam, had laju 60km/j diguna pakai disepanjang lebih kurang 870 meter bermula dari persimpangan isyarat Lido dan berakhir sebelum persimpangan isyarat Jalan Kolam Damai.

“Manakala dari arah Inanam ke KKIA, had laju sama diguna pakai sepanjang lebih kurang 950m bermula dari persimpangan isyarat Jalan Kolam Damai dan berakhir sebelum persimpangan isyarat Lido,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, selain persimpangan isyarat Lido dan Jalan Kolam Damai, had laju 80km/j masih diguna pakai di Jalan Lintas yang direka bentuk dengan had kelajuan 80km/j berpandukan kepada Piawaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Katanya, papan tanda jalan yang menyatakan had laju jalan di jalan tersebut juga telah didirikan semenjak persimpangan U bertingkat di Jalan Lintas dibuka kepada orang awam pada Januari tahun lalu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi dan peka dengan arahan papan tanda jalan yang telah diletakkan di bahu-bahu jalan bagi mengelakkan kemalangan jalan raya,” katanya.