KOTA MARUDU, SABAH – Sambutan Pesta Kaamatan 2024 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau akan diadakan pada 5 Mei (Ahad) bertempat di Dewan Terbuka Kampung Minansad, sini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Maijol Mahap, penganjuran pesta tersebut adalah buat julung kalinya.
“Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada warga Bandau merasai sendiri kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan di peringkat DUN Bandau,” kata Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah bahagian Bandau itu.
Menurut beliau, antara aktiviti yang diadakan sepanjang sambutan tersebut adalah seperti Pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi Kaamatan, Sukan Tradisi, Persembahan Kebudayaan, Magavau, Koir Kaamatan dan pengunjung juga berpeluang melawat gerai pameran kebudayaan dan pelancongan semasa Pesta berlangsung.
“Semua warga Bandau dijemput hadir seawal jam 8 pagi untuk menyertai aktiviti yang telah disediakan serta menyaksikan persembahan kebudayaan etnik yang terdapat di DUN Bandau iaitu Tobilung, Kimaragang, Bajau Samah, Tinagas, Luba, Rungus dan Gobukan,” tambahnya.
Manakala saringan pertandingan Sugandoi Kaamatan pula akan diadakan pada jam 6 petang pada 4 Mei di Tapak
Budaya Walai Tobilung dan peringkat akhir akan diadakan jam 8.30 pagi di Dewan Terbuka Kg. Minansad.
Ianya untuk memilih enam orang wakil DUN Bandau ke pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan peringkat Daerah Kota Marudu 2024.
Acara kemuncak iaitu Pertandingan Unduk Ngadau untuk memilih 6 orang peserta yang akan mewakili DUN Bandau akan diadakan bermula jam dua petang pada 5 Mei di Dewan terbuka Kampung Minansad.






