PDRM Tahan 8 Suspek Militan Di Sabah, Selangor Dan Perak

PDRM Tahan 8 Suspek Militan Di Sabah, Selangor Dan Perak

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menggempur suspek-suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti militan dan keganasan di negara ini.

Memetik portal berita SarawakVoice, dipetik berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bahawa, pada 27 September hingga 6 Oktober lalu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, PDRM telah melancarkan operasi khas di Sabah, Selangor dan Perak yang membawa kepada kejayaan menangkap lapan lelaki.

“Suspek-suspek ini merupakan empat rakyat tempatan, dua Filipina dan seorang warga Filipina bertaraf pemastautin tetap, selain seorang warga Albania.

“Tangkapan pertama dilakukan pada 27 September lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 membabitkan lima suspek di Sandakan, Sabah.

“Mereka terdiri daripada dua rakyat Malaysia, seorang rakyat Filipina yang memegang status pemastautin tetap Malaysia dan dua warga Filipina yang berusia di antara 30 hingga 53 tahun,” katanya.

Kesemua mereka katanya, disyaki terlibat dalam aktiviti membantu penyusupan masuk anasir-anasir pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) ke negara ini melalui Sabah.

“Operasi ini adalah susulan daripada tangkapan tujuh anasir sel ASG pada 14 September di Kuala Lumpur.

Tangkapan kedua kata Fuzi lagi, dilakukan pada 1 Oktober di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Tambah Fuzi berkata “Ia melibatkan seorang suspek warga Albania yang berusia 35 tahun.”

Suspek jelasnya, merupakan seorang pensyarah undangan di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan dicekup di Selangor kerana disyaki mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan pengganas Daesh di luar negara.

Pada 6 Oktober, polis berjaya melakukan tangkapan ketiga melibatkan suspek yang juga bekas banduan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di Tapah, Perak.

Mereka pernah ditangkap pada 7 Februari 2013 kerana terlibat dalam aktiviti keganasan dan dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun pada 27 Januari 2016.

Suspek pertama katanya, berusia 53 tahun, yang ditangkap di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) juga pernah menjalani perintah tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (AKDN) selama tujuh tahun.

“Beliau disyaki merekrut banduan di Penjara Tapah untuk menganggotai sel pengganas dan merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang Islam, Kristian dan Hindu bagi mencetuskan konflik antara kaum dan agama di Malaysia.

“Di samping itu, beliau juga disyaki melindungi maklumat mengenai salah seorang anggota Tandzhim Al-Qaeeda Malaysia (TAQM) yang dikehendaki polis dan masih bebas,” kata beliau.

Manakala seorang lagi suspek kata Fuzi, berusia 37 tahun dipercayai bersama-sama dengan suspek pertama merekrut dua rakyat Malaysia untuk menganggotai kumpulan TAQM.