KUDAT: Cubaan dua vesel nelayan asing (VNA) dari Vietnam menceroboh dan merompak hasil laut negara secara haram digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu operasi di perairan Kudat, Sabtu lalu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat awam yang diterima pihaknya sebelum aset rondaan, Bot CENDERAWASIH 10 digerakkan ke lokasi dalam pelaksanaan OP PLUTO TIMUR 2/2013, OP CEGAH PATI 1/2022 dan OP NAGA TIMUR.
“Setibanya kira-kira 4.2 batu nautika timur laut Pulau Latoan, pasukan mengesan dua bot Vietnam sedang menjalankan aktiviti perikanan haram.
“Suspek cuba melarikan diri dengan memotong tali tunda, membiarkan tali terjuntai dan memasang palang besi bagi menghalang tindakan penguat kuasa,” katanya.
Bagaimanapun, helah itu gagal apabila berlaku aksi kejar-mengejar selama 15 minit sebelum anggota Maritim berjaya menaiki dan menahan kedua-dua vesel terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot disyaki menjalankan aktiviti penangkapan balat menggunakan peralatan khas diperbuat daripada besi padu.
“Turut dirampas ialah kira-kira 20 kilogram balat basah dan 2,000 liter diesel yang dibawa oleh bot berkenaan.
“Sebanyak 11 kru warga Vietnam berusia antara 25 hingga 54 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Keseluruhan nilai rampasan termasuk kedua-dua bot, hasil laut dan peralatan dianggarkan melebihi RM4 juta.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.






