DBKK Tidak Tolak Sabotaj Dalam Kebakaran Kayu Madang

DBKK Tidak Tolak Sabotaj Dalam Kebakaran Kayu Madang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kemungkinan unsur sabotaj oleh pengais sampah yang mengambil tembaga tidak ditolak sebagai punca kebakaran di tapak pelupusan Kayu Madang di Telipok, kata Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Menurutnya, aktiviti pengais sampah yang membakar sisa bagi mendapatkan logam seperti tembaga, selain faktor cuaca kering dan bahan mudah terbakar, berpotensi mencetuskan kebakaran.

Katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kini bekerjasama dengan pihak berkaitan serta menilai cadangan beberapa syarikat bagi menambah baik pengurusan tapak pelupusan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Mayor 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), yang menerima 39 penyertaan termasuk sembilan daripada DBKK.

Sabin berkata, anugerah itu bertujuan memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar, individu dan organisasi bagi meningkatkan kecekapan serta memperkemas proses kerja berasaskan data.

Menurutnya, DBKK menekankan inovasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak ketinggalan, termasuk penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI), dengan keutamaan kepada penyelesaian kos efektif.

Tambah beliau, projek berskala besar seperti bandar pintar memerlukan kerjasama dan pembiayaan bersama agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak kerajaan dan swasta.

Mengulas isu pembuangan sampah haram, katanya DBKK bergantung kepada jadual kutipan dan aduan awam, namun aktiviti pada waktu malam menyukarkan penguatkuasaan.

i-Wass dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Kota Kinabalu memenangi tempat pertama kategori reka cipta, manakala Tourism Artz Crew dari Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat DBKK muncul pemenang bagi kategori masing-masing.