PMX Zahir Takziah Pemergian Wartawan Legenda, Karam Singh Walia

PMX Zahir Takziah Pemergian Wartawan Legenda, Karam Singh Walia

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian wartawan legenda negara, Datuk Karam Singh Walia yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, beliau menyifatkan pemergian tokoh kewartawanan itu sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang penyiaran dan pelaporan isu alam sekitar.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Karam Singh Walia, wartawan penyiaran yang amat dihormati, atas pemergian beliau hari ini,” katanya.

Menurut beliau, sumbangan serta dedikasi mendiang dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Moga mendiang disemadikan dengan aman, dan keluarga diberi ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.

Terdahulu, pemergian mendiang disahkan oleh adiknya, Jasbant Singh, yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad.

Menurut laporan media, mendiang meninggal dunia di kediamannya di Klang kira-kira jam 3.30 pagi Isnin akibat barah hati.

Sepanjang kerjayanya, Karam Singh dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di Malaysia, khususnya menerusi laporan di TV3 dengan gaya penyampaian tegas, berautoriti dan berimpak tinggi.

Pemergian beliau meninggalkan kekosongan besar dalam dunia kewartawanan negara, khususnya dalam memperjuangkan kesedaran terhadap isu alam sekitar.