KKTP Komited Capai Sasaran Pendigitalan Perkhidmatan

KKTP Komited Capai Sasaran Pendigitalan Perkhidmatan

0
SHARE
Joachim
Dr. Joachim (duduk) tengah, Dr. Jamili (dua dari kiri) dan Ernywati (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama dengan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian serta peserta seminar ICT ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) komited dalam usaha pendigitalan perkhidmatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan semua organisasi yang terlibat, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Beliau yang juga Menteri KKTP berkata, ini penting demi mencapai sasaran pendigitalan perkhidmatan selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Justeru itu, Pelan Strategik ICT KKTP (2021-2025) telah diwujudkan sebagai panduan untuk memastikan pendigitalan dapat mencapai sasaran.

“Teras pertama dalam Pelan Strategik ICT KKTP adalah memfokuskan kepada pembangunan sistem aplikasi fungsi teras Kementerian, yang juga disejajarkan dengan komponen-komponen yang terdapat dalam Smart City Framework Malaysia (MSCF).

“Sistem aplikasi teras yang telah siap dibangunkan ialah Sistem Maklumat Setinggan dan Sistem Maklumat Perumahan.

“Diharapkan sistem ini digunakan sepenuhnya agar data berkaitan perumahan dan setinggan dapat dikumpul, data perumahan boleh dianalisa dan digunakan untuk membantu perancangan dan pengurusan perumahan.

“Data Sistem Pengurusan Setinggan juga dapat dikongsikan dengan kementerian atau jabatan lain untuk tujuan memudahkan perancangan menangani isu bersama yang berkaitan dengan setinggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ICT Peringkat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Tahun 2023 bertemakan ‘SMART CITY: ICT Implementation and Challenges’ di Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini, semalam.

Bagi memperkasakan pengurusan kebersihan awam dan sisa pepejal, Joachim berkata, KKTP bersama JPKN sedang membangunkan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal yang diharapkan dapat membantu pemantauan pengurusan operasi pembersihan disemua PBT.

“Pembangunan sistem aplikasi akan terus dilaksanakan untuk mewujudkan Data Repository Kementerian bagi menyokong aspirasi Big Data, Open Data diperingkat negeri dan nasional,” ujarnya.

Mengenai Seminar ICT peringkat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi Tahun 2023 ini, Dr. Joachim berkata, ia juga merupakan salah satu usaha untuk mempromosikan penggunaan teknologi ICT dan memberikan pendedahan teknologi terkini kepada peserta seminar.

Selain itu, katanya, program ini memberikan impak positif di mana apabila mereka berkumpul, mereka akan dapat berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat bagaimana menangani masalah khususnya dalam bidang ICT.

Menurut beliau lagi, kementerian juga sedar akan cabaran-cabaran sedia ada dan yang bakal dihadapi dalam usaha melaksanakan inisiatif ‘SMART CITY’, namun mereka harus terus tabah menghadapi dan saling membantu dalam menangani isu-isu semasa.

“Salah satu cabaran yang ketara ialah ancaman keselamatan siber, statistik insiden keselamatan siber semakin meningkat selaras dengan penggunaan ICT yang meningkat.

“Sebagai pengguna ICT, kita harus peka tentang isu ini dan perlu bertanggungjawab dalam penggunaan ICT, keselamatan siber adalah tanggungjawab kita bersama.

“Arus perubahan teknologi canggih tidak dapat dibendung dan berubah dengan pantas. Pengaruh teknologi ICT memberikan impak yang tinggi kepada ekonomi global dan cara kehidupan sejagat.

“Kita perlu bergerak pantas mengadaptasi perubahan ini supaya terus dapat mengekalkan momentum daya-saing,” katanya.