PRODUK PELANCONGAN BAHARU AKAN DIPERBANYAKKAN: KM HAJIJI

PRODUK PELANCONGAN BAHARU AKAN DIPERBANYAKKAN: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika menyempurnakan gimik perasmian sempena Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC), di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di Tawau ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TAWAU, SABAH – Kerajaan negeri kini sedang merangka pelbagai projek pelancongan dalam pelbagai aspek di seluruh Sabah, antara usaha mencipta lebih banyak lagi produk pelancongan baharu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha ini diambil bagi memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung termasuk berkaitan kebudayaan.

“Seperti di Tawau, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan seperti yang dicadangkan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri untuk membangunkan lagi sektor pelancongan di daerah ini.

“Antaranya, membina sebuah resort baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan menempatkan Pusat Penyelidikan Tenggiling.

“Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri juga akan menaik taraf kemudahan seperti Jeti Tawau yang membawa pelancong dari Tawau ke Semporna.

“Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran yang popular di Semporna, telah merekodkan seramai 25,684 pelawat dari dalam dan luar negara dalam tempoh Januari hingga April lalu.

“Sehingga kini, terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan. Sehingga 15 Jun tahun ini juga, terdapat 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China ke Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC) di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di sini pada Sabtu.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di Tawau, pasti akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.

“Oleh itu,pembinaan TICC itu tepat pada masanya dan sudah pasti apabila siap kelak, ia akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).

“Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan pelancongan baharu ini, ia akan membantu kita mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Sabah pada tahun ini.

“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, seramai 1.004 juta pelancong datang ke Sabah setakat bulan Januari hingga April tahun ini dengan membabitkan 396,584 pelancong antarabangsa dan 607,371 pelancong domestik.

“Keadaan ini amat memberangsangkan kerana dalam tempoh Januari-April ini, anggaran resit pelancongan adalah sebanyak RM2.23 bilion.

“Pembinaan pusat ini antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu kota negara Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara, yang pastinya akan merancakkan lagi perdagangan dan pelancongan di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, TICC bangunan satu tingkat dua blok itu yang akan menjadi tempat untuk mempromosikan kebudayaan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya dewan konvensyen, bilik seminar dan mini teater.