Menteri Luar Rejim Israel, Palestin Buat Pertemuan Rasmi Bincang Isu Politik

Menteri Luar Rejim Israel, Palestin Buat Pertemuan Rasmi Bincang Isu Politik

0
SHARE

BAITULMAQDIS – Menteri Luar Yahudi rejim Israel mengadakan pertemuan rasmi dengan menteri Palestin petang semalam, satu misi yang dikatakan mahu membina keyakinan dengan pihak berkuasa Palestin.

Pertemuan itu disahkan Menteri Hal Ehwal Awam Palestin, Hussein al-Sheikh menerusi ciapan Twitter tetapi tidak menyatakan lokasinya.

“Saya bertemu dengan Menteri Luar Israel, Yair Lapid dan kami membincangkan beberapa isu politik dan dua hala…

“Saya menekankan keperluan untuk kepentingan politik antara kedua-dua parti berdasarkan sokongan antarabangsa,” katanya yang dipetik AFP.

Namun, Kementerian Luar Israel enggan mengulas perkara itu tetapi tidak menafikan berlaku pertemuan di antara kedua pihak.

Pada akhir Disember lalu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz menjadi tuan rumah bagi perbincangan dengan Mahmoud Abbas mengenai lawatan pertama Presiden Palestin itu ke negara haram Israel untuk mesyuarat rasmi sejak tahun 2010.

Ketika itu, Kementerian Pertahanan rejim Israel mengumumkan ‘langkah membina keyakinan’ dengan pihak berkuasa Palestin.

Ini termasuk bayaran pendahuluan berjumlah AS$32 juta (RM133 juta) kepada pihak berkuasa Palestin dalam bentuk cukai yang dikutip bagi pihaknya oleh Israel dan pemberian 600 permit tambahan membolehkan ahli perniagaan Palestin menyeberang ke Israel.

Selain itu, turut diumumkan penyelarasan membabitkan 6,000 lagi rakyat Palestin yang menetap di Tebing Barat tetapi di bawah kawalan Israel sejak Perang Enam Hari pada tahun 1967.