
TENOM, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang merupakan kerusi tradisi parti boleh dimenangi semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan kerjasama baik dalam Bersatu-Solidariti (BEST) antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah.
Kerusi Melalap kini dimiliki Datuk Peter Anthony yang merupakan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, kerusi DUN Melalap perlu dimenangi semula untuk menjadi sebahagian daripada suara kerajaan dalam DUN Sabah.
“Kemenangan ini penting agar Sabah boleh mencapai kestabilan politik yang lebih baik demi kesinambungan pentadbiran negeri yang mapan dan terfokus.
“Saya yakin kerusi ini boleh dimenangi menerusi kerjasama baik dalam BEST dan rakan-rakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersama-sama mengimpak semangat pengundi di kawasan pedalaman.
“STAR dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) masing-masing mewakili DUN berdekatan dengan Melalap
“Soal calon akan dibincang selepas proses perundingan selesai,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-39 PBS Bahagian Melalap di Pusat Kebudayaan Murut, Pulong, di sini Sabtu lepas.
Julita berkata, PBS mempunyai cawangan aktif di 76 daripada keseluruhan 99 kampung dalam DUN Melalap dan beberapa cawangan baharu akan dibuka berikutan kemasukan ramai ahli baharu ke dalam parti.
Semasa AGM tersebut, PBS Bahagian Melalap menerima sebanyak 1,135 permohonan keahlian termasuk pembukaan sebanyak sembilan cawangan baharu.