Sabah Benarkan Perkhidmatan e-Hailing, Teksi Dan Penghantaran Makanan Rentas Daerah

Sabah Benarkan Perkhidmatan e-Hailing, Teksi Dan Penghantaran Makanan Rentas Daerah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri memutuskan untuk membenarkan perkhidmatan e-hailing, teksi yang berdaftar dengan e-hailing dan perkhidmatan penghantaran makanan merentas daerah meliputi Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang berkuat kuasa hari ini (Rabu).

Aktiviti merentas daerah ini boleh dilakukan tanpa surat kebenaran daripada pihak polis.

“Kebenaran ini hanya diberikan kepada pemandu e-hailing dan teksi yang berdaftar dengan e-hailing mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi memenuhi keperluan masyarakat…

“Masa operasi yang dibenarkan bermula jam 6.00 pagi hingga jam 8.00 malam setiap hari dengan had kapasiti seorang penumpang sahaja kecuali tujuan perubatan atau kecemasan dengan had maksimum dua orang penumpang,” demikian menurut Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan malam tadi.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah menyatakan Sabah mencatatkan 193 KES baharu positif COVID-19 pada Selasa (22 Jun) iaitu berlaku peningkatan 27 kes daripada sebelum ini, Isnin.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 22 Jun 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

“Dengan jumlah catatan sebanyak 84 kes daripada Saringan Kontak Rapat dan perubahan angka yang tidak statik serta hanya satu (1) daerah Zon Hijau, dapat disimpulkan terdapat kebarangkalian tinggi bahawa masih berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, TIGA (3) kes kematian direkodkan pada Selasa (22 Jun) dengan keberadaan dua kes di Tawau dan yang lain di Sandakan.