Aman Palestin Lancar Tabung Solidariti, Rayu Sumbangan Awam Tampung Kos Mahkamah Lebih...

Aman Palestin Lancar Tabung Solidariti, Rayu Sumbangan Awam Tampung Kos Mahkamah Lebih RM2.2 Juta

0
SHARE
Muhd Farhan Muhd Fadhil, Pengurus Projek dan Komunikasi Korporat Aman Palestin

KUALA LUMPUR: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) melancarkan Tabung Solidariti Kes Aman Palestin bagi tujuan menampung kos urusan mahkamah yang bernilai lebih RM2.2 juta.

Pengurus Projek dan Komunikasi Korporat Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, banyak masalah dihadapi sejak bermulanya kes pertuduhan terhadap badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Antaranya, akaun milik Aman Palestin yang disekat telah mengakibatkan hampir 100 kakitangan pekerjanya terpaksa dicutikan tanpa gaji dan banyak cawangan juga sudah ditutup. 

Katanya, hasil kutipan akan disalurkan kepada ‘usaha’ membersihkan kembali nama baik dengan membebaskan NGO itu dari pertuduhan, lapor Berita Harian.

“RM2.2 juta adalah satu angka yang sangat besar dan mustahil untuk disediakan sedangkan akaun Aman Palestin masih dibekukan. Ini tidak termasuk kos cagaran dan sebagainya.

“Bagaimanapun, Aman Palestine akan terus memberikan kerjasama terbaik kepada parti pemerintah bagi melicinkan proses perbicaraan dan kehakiman,” katanya.

Terdahulu media melaporkan tiga individu termasuk Pengerui Aman Palestin Sdn Bhd berdepan 164 pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, penipuan dan pengubahan wang haram.

Proses membaca semua pertuduhan yang berjumlah RM39.53 juta itu mengambil masa hingga dua jam di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 15 Februari lalu.

Perbuatan didakwa dilakukan antara 2018 hingga 2023, namun ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan tersebut dikemukakan terhadap mereka.

Tertuduh adalah CEO Aman Palestin Sdn Bhd, Awang Suffian Awang Piut; Pengerusinya, Abdullah Zaik Abdul Rahman dan ketua pengarah sebuah syarikat pelaburan iaitu Khairudin Mohd Ali.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 November tahun lalu memaklumkan, sebanyak 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan telah dibekukan.

Membabitkan jumlah RM15,868,762, pembekuan dibuat susulan siasatan terhadap dakwaan syarikat NGO terbabit menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2022.

Tidak lama selepas itu, pertubuhan tersebut dilaporkan beroperasi pada skala lebih kecil selepas hampir tiga bulan akaun syarikat dibekukan oleh agensi pencegahan rasuah.

Berkuat kuasa pada 1 Februari lalu, organisasi kemanusiaan yang mula beroperasi sejak 2004 itu memutuskan untuk menutup 13 dari 20 cawangan di seluruh negara.