KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki berusia 44 tahun maut dalam pertembungan antara dua motosikal di simpang Pekan Menggatal, Jalan Tuaran pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, hasil siasatan kejadian 10.20 malam itu disebabkan penunggang lelaki berusia 28 tahun.
“Kejadian berlaku apabila lelaki tersebut yang menuju ke arah Pekan Menggatal telah berlanggar dengan mangsa yang bergerak dari arah Telipok menuju ke Inanam.
“Punca kemalangan disebabkan cubaan masuk jalan susur Menggatal untuk menyeberang jalan.
“Akibat kemalangan, mangsa 44 tahun telah mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.
“Mangsa 28 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki dan mendapat rawatan di Zon Kritikal Hospital Queen Elizabeth 1,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, Kasim berkata siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.