Mahasiswa Perlu Bijak Urus Tanggungjawab Sebagai Pelajar Dan Berpolitik – Mustapha

Mahasiswa Perlu Bijak Urus Tanggungjawab Sebagai Pelajar Dan Berpolitik – Mustapha

0
SHARE
Mustapha
Mustapha (dua kanan) bersama panel forum iFUTURE 2024 ( Sumber Foto: Ihsan KPT )

KUALA LUMPUR – Mahasiswa perlu memiliki kebijaksanaan dalam mengimbangi aktiviti politik dan juga tuntutan sebagai seorang pelajar kerana pada akhirnya mereka perlu menjadi pemimpin masa hadapan yang memiliki kualiti kepimpinan terbaik serta boleh diteladani.

Tambah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud lagi, pemimpin masa hadapan nanti perlu dipasak dengan minat dan kegiatan berpersatuan sedari bangku sekolah lagi supaya ia mampu membentuk keperibadian serta melazimkan interaksi mereka dengan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menjayakan sesi forum iFUTURE 2024 yang membincangkan topik ‘Peranan Politik Dalam Membangunkan Pemimpin Masa Hadapan’ pada hari ketiga penganjuran persidangan itu pagi tadi.

Sesi tersebut telah dibarisi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Beliau turut berpesan kepada para mahasiswa untuk membentuk kerjasama erat agar kelak dapat bersama memperkasakan negara yang bersifat inklusif serta mampu mempertahankan dan memperjuangkan perpaduan juga hak kesemua komponen masyarakat yang ada.

Selain itu, beliau turut menyeru kepada mahasiswa untuk cakna dengan dasar dan polisi diumumkan kerajaan supaya diskusi secara kritis dan membina boleh dianjurkan yang hujah serta pendapat darinya boleh diangkat sebagai input berharga kepada para pemimpin negara.

Persidangan iFUTURE 2024 bakal melabuhkan tirainya petang ini dan akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.