KOTA KINABALU, SABAH – Nilai pasaran hartanah yang mahal di Sabah dijangka meningkat pada suku kedua tahun ini berikutan sasaran harga baharu diesel di Semenanjung Malaysia.
Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah, melahirkan kebimbangan sekiranya tiada tindakan penguatkuasaan kerajaan terhadap kenaikan harga bahan binaan sekarang, maka pasaran hartanah di Sabah boleh melonjak antara 10 hingga 15 peratus.
Menurutnya, kenaikan harga bahan mentah itu dipengaruhi sentimen kenaikan kos pengangkutan dalam sektor hartanah yang tidak tersenarai menerima sebarang subsidi tunai kerajaan.
“Harga bahan binaan di Semenanjung Malaysia meningkat antara tiga hingga lima peratus.
“Ini sudah tentu penghantaran ke Sabah melalui kapal laut akan menyebabkan harga baharu lebih tinggi.
“Kos logistik membabitkan proses menukar kapal laut di Pelabuhan Klang turut menjejaskan kenaikan harga bahan mentah itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, indeks kos bahan binaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSIM) pertengahan bulan lalu menunjukkan harga papan lapis, besi dan simen mencatatkan peningkatan sehingga 1.7 peratus.
Masiung berkata, kos pengangkutan bagi Sabah dan Labuan lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia dan ini juga akan menyebabkan kenaikan harga bahan mentah di Sabah dalam sektor pembinaan.
“Walaupun kerajaan Madani memberi jaminan harga bahan mentah di Sabah dan Sarawak tidak akan naik berikutan sasaran harga diesel di Malaysia Tenggara, namun apa yang berlaku sekarang ialah harga barangan tidak terkawal,” tegasnya.
Oleh itu, beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk ‘turun padang’ bagi mengesan setiap aduan.





