Kerajaan Negeri Seru Golongan Nelayan, Pengusaha Perikanan Pelbagai Lagi Produk Dan Tingkatkan...

Kerajaan Negeri Seru Golongan Nelayan, Pengusaha Perikanan Pelbagai Lagi Produk Dan Tingkatkan Pengetahuan

0
SHARE
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menyampaikan cek replika Elaun Sara Hidup Nelayan bernilai RM233,700 kepada wakil Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Penyu dalam Majlis Pesta Nelayan Menumbok ke 20 bertempat di dewan terbuka Pantai Mempakul...

MENUMBOK, SABAH – Kerajaan negeri menyeru kepada semua golongan nelayan serta pengusaha perikanan di Sabah agar mempelbagaikan produk berasaskan sumber perikanan dan meningkatkan lagi pengetahuan khususnya membabitkan pengurusan perniagaan.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata pihaknya bermatlamat untuk menjadikan golongan nelayan dan pengusaha perikanan menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Disamping itu, Mohd Arifin juga berkata pihaknya berharap kumpulan sasar terbabit dapat mempertingkatkan hasil pengeluaran dengan menggunakan inovasi dan teknologi moden.

“Selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya yang memberi fokus memajukan ekonomi rakyat, saya berharap semua agensi kerajaan serta masyarakat keseluruhannya dapat terlibat sama dalam mendokong dan menjayakan agenda pembangunan negeri khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan komoditi getah…

“Saya yakin dan percaya, dengan kerjasama dan juga program yang telah dianjur, diatur oleh agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Perikanan Sabah, Ko Nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Pertanian Sabah dan disokong selain yang terlibat, kita mampu mencapai matlamat yang kita idamkan.

“Kerajaan negeri amat prihatin dan sentiasa berusaha melakukan sesuatu yang terbaik dalam membela nasib masyarakat nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam Majlis Pesta Nelayan Menumbok ke-20 bertempat di dewan terbuka Pantai Mempakul, disini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jurry.

Dalam pada itu, Mohd Arifin juga berkata terdapat pelbagai jenis bantuan yang disediakan kerajaan negeri sebagai inisiatif dalam membantu golongan nelayan khususnya.

“Berbagai jenis bantuan telah disediakan oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan nelayan…

“Antaranya, elaun sara hidup nelayan yang telah, sedang dan terus diberikan oleh kerajaan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh nelayan dalam mendepani kos sara hidup masa kini.

“Kita harus mengakui bahawa kehidupan kita hari ini jauh lebih baik berbanding beberapa waktu yang lalu.

“Ini hasil daripada kesungguhan kerajaan yang merangka pelbagai dasar, pelbagai program untuk membela masyarakat nelayan di seluruh negara termasuk di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arifin juga menyatakan harapannya agar lebih banyak produk perikanan yang dijual dalam Pesta Nelayan Menumbok berjaya menembusi pasaran di luar daerah ini.