Lelaki Hilang Ketika Merentas Sungai Liwagu Ditemui Meninggal Dunia

Lelaki Hilang Ketika Merentas Sungai Liwagu Ditemui Meninggal Dunia

0
SHARE
Bomba
Pasukan penyelamat mengusung mayat Pirid keluar daripada kawasan Sungai Liwagu ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

RANAU, SABAH – Seorang lelaki yang dipercayai sesat di hutan Kampung Kimolohing sini selepas terpisah dengan ahli keluarganya ditemui lemas hari ini.

Kali terakhir mangsa Fred Yassin, 42, dilihat ialah ketika cuba merentas Sungai Liwagu untuk ke kawasan kebun keluarga mereka berhampiran Loji Air Bambangan semalam.

Difahamkan mangsa dengan nama panggilan Pirid itu ketika kejadian berada dalam keadaan kurang sihat.

Beliau memilih untuk merentasi air sungai manakala ahli keluarganya yang lain menggunakan jambatan gantung untuk menyeberang.

Seramai empat pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ranau digerakkan ke lokasi kejadian susulan panggilan daripada Polis daerah pada jam 9.08 pagi tadi.

“Menurut keluarga mangsa, kali terakhir mangsa dilihat lebih kurang 1.30 tengah hari semalam ketika mangsa cuba merentas sungai.

“Mangsa berjaya dijumpai di kawasan sungai oleh pada jam 11.30 pagi kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa di khuatiri hilang,” kata seorang jurucakap agensi Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.

Katanya operasi ditamatkan pada jam dua petang selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.