Rakan Halang Lelaki Cuba Terjun Dari Tingkat Dua

Rakan Halang Lelaki Cuba Terjun Dari Tingkat Dua

0
SHARE

PUTATAN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berjaya diselamatkan selepas cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkap di tingkat dua bangunan Wisma Seri Kejura di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa dikatakan cuba terjun namun berjaya dihalang oleh rakan-rakannya sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.29 malam.

Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera CFRT.

“Pasukan bomba menenangkan mangsa dan memastikan kawasan di tingkat dua berada dalam keadaan selamat sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap agensi.

Operasi turut disertai tiga anggota polis dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mangsa dilaporkan selamat, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.08 pagi.