LAHAD DATU, SABAH – Seorang lelaki yang membuat laporan berkaitan dakwaan ternampak kumpulan bersenjata menyusup masuk ke Long Patau, Tambisan, di sini, baru-baru ini mengaku memberikan maklumat palsu kepada pihak polis.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Ryan Sagiran Rayner ketika lelaki terbabit dihadapkan di Mahkamah Majistret Lahad Datu, hari ini.
Lelaki berumur 42 tahun terbabit didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang lain.
Berikutan itu, Ryan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sebelum dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya selepas selesai menjalani hukuman berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki warga asing terbabit yang dikenali sebagai Ben didakwa membuat laporan polis palsu di di kaunter pertanyaan Balai Polis Cenderawasih, Lahad Datu pada jam 7.54 malam, 3 Februari lalu.
Laporan itu berkaitan jenayah pendaratan 13 orang memakai pakaian celoreng dan memegang senjata berlaras panjang dipercayai tentera dari selatan Filipina yang sebenarnya adalah palsu…
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu, Lim Sze Chuen.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dalam satu kenyataan, berkata laporan dibuat lelaki terbabit menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam di Sabah.
Bagaimanapun, katanya siasatan polis pada 5 Februari lalu mendapati laporan polis itu adalah palsu dan tidak benar, sebaliknya ia dibuat dengan motif untuk mereka-reka cerita kononnya tempat tinggal suspek tidak selamat bagi menarik perhatian pihak keselamatan.
Tindakan suspek juga katanya ada kaitan dengan masalah keluarga dialaminya kerana perkahwinannya tidak direstui oleh ahli keluarga dengan harapan selepas laporan polis itu, tiada lagi gangguan daripada keluarga isterinya.
“Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada mana-mana agensi penguatkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bagaimanapun, setiap maklumat perlu disalurkan dengan penuh tanggungjawab kerana dengan maklumat ‘serong’ seperti ini boleh menimbulkan kegusaran awam termasuk pihak berkuasa,” tegasnya.