Wanita Simbah OKU Air Panas Dipenjara 10 Tahun

Wanita Simbah OKU Air Panas Dipenjara 10 Tahun

0
SHARE
Tertuduh diiring polis di Mahkamah Sesyen Balik Pulau

BALIK PULAU: Mahkamah Sesyen Balik Pulau menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada seorang wanita yang bertindak menyimbah air panas kepada lelaki Sindrom Down dalam kejadian 19 April lalu.

Pihak mahkamah turut menyifatkan perbuatan wanita, Oo Saw Kee, 39 tahun itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan, lapor Sinar Harian.

Perkara itu antara yang ditegaskan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap A Solairaj, 33, dengan menggunakan air panas sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000.

Tegasnya, apa yang dilakukan tertuduh amat serius dan mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat yang menggambarkan kebencian terhadap tindakan wanita itu, lebih-lebih lagi tiada sebarang provokasi dibuat mangsa terbabit.

“Mahkamah sudah tentu perlu mengambil kira kepentingan awam dan memberi peringatan agar perbuatan ini tidak diulangi mana-mana terutamanya kepada golongan istimewa.

“Masyarakat majmuk di negara ini tidak membenarkan perbuatan seperti ini berlaku lagi,” katanya ketika prosiding, di sini, semalam.

Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah pada mangsa dengan menggunakan air panas.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu melakukan kesalahan berkenaan di dalam sebuah lif pangsapuri I-Park, kira-kira jam 9.24 pagi.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan pendakwaan turut dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Edric Loo.