Strategi NBOS Boleh Dilihat Pada Anjuran Kaamatan – Salleh

Strategi NBOS Boleh Dilihat Pada Anjuran Kaamatan – Salleh

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran perayaan Pesta Kaamatan merupakan satu daripada contoh aplikasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang pelbagai jabatan dan agensi Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan dan swasta bekerjasama untuk menjayakan perayaan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kerjasama itu memperlihatkan semangat rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama yang bersatu padu, muhibbah dan harmoni.

“Ia (kerjasama secara NBOS) juga selaras dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Asas Perpaduan’.

“Oleh itu, marilah bersama kita menjaga dan mempertahankan keamanan, persahabatan dan kebersamaan sesama kita yang amat unik di negeri ini,” katanya ketika merasmikan penutupan Pesta Kaamatan peringkat bandar raya Kota Kinabalu, malam tadi.

Salleh juga berkata hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum merupakan kunci utama dalam menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran agar negara berupaya mencapai wawasan dan matlamat yang telah ditetapkan.

“Oleh disebabkan itu, kerajaan sentiasa menitikberatkan agenda perpaduan kerana dengan bersatu hati, kita dapat membina sebuah negara yang aman, damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan, keamanan, politik yang stabil serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur asing,” katanya.

– BERNAMA