KOTA KINABALU, SABAH – Seorang peniaga wanita berputih mata apabila kerugian RM143,200 gara-gara terpedaya dengan helah seorang lelaki, yang sebenarnya merupakan sindiket ‘Love Scam’, dalam kejadian di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim berkata wanita berusia 50 tahun itu mendakwa, mula berkenalan dengan teman lelakinya menerusi laman sosial Facebook sebelum mereka bercinta dan mangsa tidak sedar dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan.
“Peniaga wanita yang dipercayai ditipu dengan helah suspek, yang menyatakan duit simpanan RM16.6 juta miliknya telah dibekukan dan suspek telah meminta pertolongan mangsa supaya melakukan transaksi kewangan dan berjanji akan memberi ‘habuan’ kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mohd Haris berkata berdasarkan trend jenayah itu, modus operandi mereka menerusi perkenalan di alam maya media sosial, dengan memberikan kata-kata manis untuk memperoleh kepercayaan mangsa sebelum meminta sejumlah wang untuk pelbagai tujuan.
“Statistik kes penipuan melibatkan ‘Love Scam’ semakin meningkat di daerah Penampang sejak kebelakangan ini, dan masyarakat dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali,” katanya.