ESSCom Tahan Lelaki Tempatan Disyaki Seludup 13 PATI Di Beluran

ESSCom Tahan Lelaki Tempatan Disyaki Seludup 13 PATI Di Beluran

0
SHARE

BELURAN, SABAH – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan seorang lelaki tempatan disyaki cuba menyeludup masuk 13 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini pada Rabu (11 Nov) lepas.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kesemua mereka ditahan ketika cuba menyusup masuk melalui ‘jalan tikus’ iaitu di laluan Kota Kinabalu-Beluran semasa dalam perjalanan dari Beluran menuju ke ladang-ladang di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau yang dipetik Bernama berkata sebuah lori yang dipandu oleh lelaki tempatan berumur 40 tahun itu disyaki mengambil laluan pintas melalui jalan tikus tersebut bagi mengelak daripada diperiksa oleh pusat pemeriksaan daratan (RCP) Sapi Nangoh.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap belakang lori tersebut menemukan 13 penumpang, termasuk seorang bayi berumur 9 bulan dan seorang kanak-kanak berumur 3 tahun, yang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri…

 “Kesemua mereka yang berumur antara 9 bulan dan 42 tahun tersebut telah dibawa ke balai polis Beluran untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Fuad, ketika kejadian kira-kira 8.40 malam itu, bertindak atas maklumat kemasukan pendatang, sepasukan enam anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan dan memeriksa sebuah lori berwarna hijau yang melalui lorong tikus itu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya lagi, turut disita sebuah lori yang digunakan dalam kejadian itu dianggarkan bernilai RM100,000.

Ahmad Fuad berkata ESSCom dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).